SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak lelaki warga asing berusia enam tahun bersama neneknya yang berumur 80 tahun, mati dibunuh dalam satu kejadian di Felcra Batu 9, Teluk Panglima Garang dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kedua-dua mangsa bersama kakak kanak-kanak itu yang berusia 11 tahun telah didatangi oleh seorang lelaki warga asing, dipercayai kenalan keluarga itu di rumah mereka di Jalan Rumbia, Sijangkang yang ingin membawa kanak-kanak itu berjumpa ibu mereka.

"Suspek berusia 31 tahun kemudiannya membawa ketiga-tiga mereka ke sebuah ladang kelapa sawit. Tiba di suatu tempat, suspek menurunkan warga emas itu dan meneruskan perjalanan bersama kedua-dua kanak-kanak itu.

Tidak beberapa jauh dari tempat nenek kanak-kanak itu diturunkan, suspek kemudiannya cuba merogol kakak si mati yang berusia 11 tahun tetapi tidak berjaya kerana adiknya (si mati) telah menjerit meminta pertolongan," katanya.

Akibatnya budak lelaki itu telah dipukul menggunakan kayu oleh suspek sehingga mati," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Melihat kejadian itu, kanak-kanak perempuan berkenaan melarikan diri dan pergi ke sebuah rumah berhampiran ladang berkenaan untuk meminta pertolongan.

"Penghuni rumah berkenaan kemudiannya menghubungi polis dan setibanya pasukan polis di tempat kejadian mereka telah menemui mayat kanak-kanak lelaki itu di dalam sebuah parit," katanya.

Berdasarkan maklumat daripada kanak-kanak perempuan itu, polis kemudiannya berjaya mengesan suspek dan menahannya di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) kira-kira pukul 5 pagi tadi.

"Hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudiannya telah pergi semula ke lokasi kejadian dan menemui mayat warga emas itu kira-kira 100 meter daripada lokasi mayat kanak-kanak lelaki itu dijumpai.

"Kedua-dua mayat mempunyai kesan cedera akibat dipukul dengan benda keras," katanya.

Tambahnya, punca dan motif pembunuhan itu masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama